MaGIC, SCEIC bangunkan bakat tempatan Sabah

KOTA KINABALU: Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) berminat membangunkan bakat tempatan Sabah menerusi peluang yang ditawarkan kepada pelajar dalam bidang keusahawanan. 

Bagi mencapai hasrat itu, MaGIC mengorak kerjasama dengan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCEIC) untuk menganjurkan University Startup Challenge (USC) 2021 di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar, berkata ia sejajar dengan komitmen agensi itu dalam menyokong program pembinaan kapasiti bagi membantu syarikat permulaan menembusi pasaran selain menambah nilai pelaburan dan hasil.

“Bagi melaksanakannya, MaGIC tidak boleh bersendirian kerana usaha membina ekosistem syarikat permulaan di peringkat nasional, wilayah dan global memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai rakan kongsi.

“Menerusi kerjasama dan bantuan rakan kongsi yang betul dan mempunyai pemikiran yang sama, kita boleh melaksanakan program dengan lebih berkesan selian dapat menyelesaikan kekangan yang timbul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan SCEIC untuk menganjurkan USC 2021, MaGIC boleh meluaskan lagi inisiatif agensi itu di negeri ini.

USC ialah program syarikat permulaan yang membabitkan pelajar berumur antara 18 hingga 35 tahun dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS) di negara ini. 

“Program ini mempunyai sasaran serampang dua mata iaitu mewujudkan budaya inovasi yang terus berkembang maju di Malaysia dengan membina syarikat permulaan yang besar dan meningkatkan potensi masa depan serta bakat dan pemikiran dalam bidang keusahawanan,” katanya.

USC dilancarkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif pemantapan belia di bawah MaGIC dengan lebih 300 pelajar mendapat manfaat daripada cabaran itu setakat ini.

Sementara itu, Pengurus Besar SCEIC, Viviantie Sarjuni, berkata pihaknya bekerjasama dengan MaGIC untuk mempromosikan USC 2021 dan melaksanakan pengambilan di Sabah.

Katanya, pelajar di Sabah wajar mengambil bahagian dalam cabaran itu di samping program yang boleh didapati di IPTA atau IPTS.

Permohonan untuk menyertai USC 2021 dibuka menerusi enam sesi yang dilaksanakan di seluruh negara sehingga Mei depan dengan sesi pertama dijadual bermula 17 dan 18 April ini.

Maklumat lanjut mengenai USC 2021 boleh diperolehi menerusi laman sesawang www.mymagic.my/usc. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *