MAFI laksana beberapa langkah proaktif tangani isu bekalan, harga makanan

PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan beberapa langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan sekaligus memastikan bekalan ayam kekal terjamin.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah yang dibentang pada mesyuarat Kabinet itu melibatkan lapan komoditi makanan utama iaitu daging ayam; daging lembu/kerbau; telur; susu segar; ikan; buah; sayur dan beras.

Katanya, bekalan makanan negara secara amnya masih mencukupi bagi menampung keperluan penggunaan tempatan.

Menurutnya, bekalan ayam telah menunjukkan trend bekalan yang lebih rendah berbanidng keperluan bulanan bermula Februari lalu namun ia dijangka akan kembali stabil bermula Jun ini.

“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah mewujudkan kaedah pelaksanaan stokpail ayam bagi menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan Pertubuhan Peladang secara gabungan dan akan mula dilaksanakan dengan serta merta.

“Selain itu, MAFI akan mempermudah proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan khususnya penternak kecil dan sederhana di mana tuntutan amaun subsidi berjumlah RM157.53 juta dapat dilaksanakan dengan kadar segera

“Kementerian juga akan memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat komoditi merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan ‘priority lane’bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Ronald berkata, langkah lain juga akan turut mempercepatkan proses keperluan lesen pengimportan di bawah DVS melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai 2022 dengan proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan.

Katanya, pihaknya juga akan turut melaksanakan semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agromakanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan.

“Pengecualian khas bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti penternakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekaligus menjamin kesinambungan pengeluaran akan diberikan.

“Langkah terakhir adalah akan mengkaji mekanisme mengurangkan kos minyak sawit mentah kepada syarikat-syarikat pengilangan makanan ternakan yang dikenalpasti bagi mengurangkan kos makanan ternakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata,  Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan turut bersidang secara mingguan bagi memantau status bekalan komoditi utama makanan negara serta mengenal pasti isu dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap isu sekuriti makanan negara.

Katanya, Kluster Komunikasi Strategik di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) turut diwujudkan bagi memastikan rakyat mendapat mesej dan maklumat sekuriti makanan negara yang berterusan dan efektif selain menyampaikan inisiatif-insiatif Kerajaan berhubung sekuriti makanan.

“Kerajaan memandang serius apa-apa isu melibatkan bekalan makanan dan kos sara hidup. Buat masa ini MAFI sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Setakat ini, sebanyak 1,644 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM113.2 juta telah diluluskan oleh MAFI.

“Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari 2022 hingga 30 Mac 2022 dan subsidi ini telah dinaikkan kepada RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 sehingga 30 Jun 2022. Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan juga akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak bagi menjamin kemampuan memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan oleh ‘Keluarga Malaysia’.-SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *