LPKP Sabah proses pembayaran bantuan Permai 400 pemandu bas sekolah
SANDAKAN: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sudah proses pembayaran bantuan PERMAI RM500 seorang untuk seramai 400 pemandu bas sekolah pada, Rabu lalu.
Pengerusi LPKP Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata dijangkakan wang bantuan terbabit akan masuk ke akaun 400 pemandu bas sekolah dalam tempoh 3 hari berkerja.
“LPKP Sabah juga akan memproses pembayaran bantuan berkenaan untuk seramai 411 pemandu bas persiaran pada hari Isnin depan,” katanya selepas pertemuan beliau bersama Menteri Pengangkutan Malaysia Dato’ Sri Dr. Wee Ka Siong di Kuala Lumpur, kelmarin.
Chin juga telah menyerah data-data yang dikemaskini mengenai pemandu-pemandu bas sekolah, bas persiaran, teksi dan e-hailing yang menerima bantuan PRIHATIN kepada Menteri Pengangkutan (Wee).
Dalam pada itu, Wee berharap LPKP Sabah akan meneruskan jalinan komunikasi dengan para pemain industri bagi mendengar suara mereka.
“Tidak terkecuali, mengenai pemain-pemain industri di negeri Sabah yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Wee berkata antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai beberapa idea dan cadangan berkaitan polisi-polisi terutamanya sektor logistik di Sabah untuk ditambahbaik demi manfaat industri dan sistem pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan itu amat berterima kasih dan menghargai segala input daripada Chin yang membawa suara LPKP Sabah sebagai antara agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia. – Utusan Borneo