Lebih banyak rumah PPRT akan dibina di Sabah: Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan neegri akan berusaha membina lebih banyak rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan untuk perumahan golongan miskin tegar di bawah PPRT akan diberi keutamaan di negeri ini.
Katanya, buat masa ini, hanya sekitar lapan rumah PPRT mendapat kelulusan untuk pembinaan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan keadaan itu perlu diubah.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sejumlah RM500 juta diperuntukkan untuk membina rumah-rumah PPRT di Sabah. Namun, kerajaan negeri akan berusaha mencari peruntukan yang lebih besar,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri di sini hari ini.
Dari segi pelaksanaannya, Hajiji berkata, permohonan sudah disampaikan kepada kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mempertimbangkan peluang kepada kontraktor Kelas F di Sabah untuk melakukan projek berkenaan.
Terdahulu, semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan, beliau turut mengingatkan semua agensi pelaksana peringkat negeri dan Persekutuan untuk terus meningkatkan prestasi dan kualiti projek demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan projek yang tidak berkualiti mengakibatkan beberapa bangunan tidak dapat digunakan setelah siap seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) di Salagon Beaufort.
Selain itu, Hajiji berkata, Jalan Sapulut-Kalabakan mempunyai kualiti yang kurang memuaskan berbanding Lebuhraya Utara Selatan yang dapat memuatkan trak membawa muatan lebih besar.
“Saya sendiri menggunakan jalan ini (Sapulut-Kalabakan) sebelum pilihan raya yang lepas dan didapati banyak kerosakan di laluan itu,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji meminta kementerian dan agensi yang berkaitan supaya tidak mempertimbangkan kontraktor dan juga perunding yang tidak kompeten pada masa akan datang jika didapati lewat menyiapkan projek.
Pihaknya turut memandang serius isu membabitkan kartel yang dimonopoli 345 tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion yang memberi kesan terhadap keyakinan rakyat kepada perkhidmatan awam.
“Saya ingin mengingatkan semua ketua jabatan negeri dan Persekutuan agar menekankan penyampaian perkhidmatan dengan integriti dan mesra pelanggan sesuai dengan slogan dan aspirasi kerajaan.
“Saya juga memberi amaran dan tidak akan berkompromi dengan pegawai perkhidmatan awam yang bertindak seperti ‘Napoleon kecil’ yang akan menjejaskan rancangan pembangunan SMJ,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Dr. Zulkapli Mohamed. – Utusan Borneo