Kuota kerusi untuk Sabah, Sarawak lemahkan demokrasi, kata ketua Bersih

PETALING JAYA: Demokrasi Malaysia akan menjadi lemah, jika Sabah dan Sarawak mempunyai kuota 35% kerusi Dewan Rakyat, kata Thomas Fann, pengerusi kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak lagi dianggap mempunyai undi sama rata di bawah skim seumpama itu.

“Ia seperti saya mahu memberi semua orang USD1, kecuali saya memberi anda RM1 dan saya memberi orang lain pound British,” katanya dalam temu bual dengan FMT.

“Saya memberi setiap orang satu, tetapi sudah tentu orang yang mendapat nilai lebih rendah akan merasa kehilangan hak sepenuhnya. Jadi, saya fikir ia mungkin bukan cara terbaik untuk menangani perasaan dua negeri itu diketepikan selama ini.

“Kami akui ada masalah di sana, tetapi saya fikir ada penyelesaian lebih baik yang harus diteliti kerana mempunyai lebih banyak kerusi tidak menjamin parti di Malaysia Timur akan bekerjasama.”

Fann mencadangkan penyelesaian lebih baik dengan melakukan reformasi terhadap Dewan Negara untuk memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai perwakilan lebih ramai bagi menjalankan proses semak dan imbang.

Katanya, ahli politik dari sana gagal membangunkan Sabah dan pada asasnya “melepaskan hak mereka”.

“Ini masa baik untuk bercakap tentang mengimbangi semula kuasa, bukan saja memberi lebih autonomi kepada Malaysia Timur, tetapi juga negeri lain di Malaysia Barat.

“Dalam erti kata lain, kita bercakap mengenai desentralisasi Putrajaya. Itu sesuatu yang kita pasti sokong, untuk memastikan demokrasi kembali ke negeri dan akhirnya kerajaan tempatan juga.”

Pada 8 Sept lalu, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 berkata, ia mengesahkan untuk mengembalikan 35% bahagian daripada 222 kerusi Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak.

Seorang aktivis veteran Malaysia Timur berkata, kuota kerusi itu bertentangan prinsip demokrasi kerana dua negeri itu hanya membentuk 20% daripada populasi negara.

Peter John Jaban berkata, Dewan Negara perlu menjalani “penstrukturan semula menyeluruh” untuk membolehkan Sabah dan Sarawak memveto pindaan Perlembagaan dan tindakan perundangan lain yang mungkin menjejaskan kepentingan rakyatnya. -FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *