Komuniti kampung perlu main peranan beri penjelasan mematuhi SOP ketika PKP

KOTA KINABALU: Komuniti peringkat kampung perlu memainkan peranan penting bagi memberi penjelasan mengenai keutamaan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata langkah terbabit penting bagi memberi kefahaman yang tepat mengenai tujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkenaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 sekali gus mengelakkan mereka daripada dikenakan kompaun.

Beliau juga ada mencadangkan agar Ketua Kampung mahupun Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat di setiap kampung mengambil inisiatif agar mencari kaedah terbaik untuk membantu penduduk masing-masing yang ingin keluar ke kedai untuk mendapatkan keperluan harian mahupun bekalan makanan mereka tanpa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya seru semua ketua kampung dan ketua komuniti untuk beri penerangan kepada orang kampung bahawa perlunya kita
mematuhi SOP yang dikeluarkan bagi kita landaikan dan halang covid ini berjangkit sehingga mewujudkan kluster-kluster,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di IPK Kepayan mengenai video tular isu kompaun di Tenom oleh KDM TV, baru-baru ini.

Katanya, pihak polis memahami keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh di pedalaman dan polis Sabah juga telah membuat permohonan berhubung membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10-kilometer sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini diputuskan setelah mengambil kira geografi negeri yang luas, termasuk kawasan pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan sebelum ini.

Terdahulu, pada 27 Januari lepas, seramai lapan orang penduduk kampung termasuk pemandu kereta sapu dikompaun kerana melanggar SOP dengan PKP dengan membawa lebih penumpang iaitu 50 peratus daripada kapasiti kenderaan awam yang dibenarkan.

Paparan video yang tular itu dilihat sebagai satu bentuk provokasi kepada pasukan keselamatan yang selama ini cukup bertoleransi dan menggunakan budi bicara selama tempoh PKP dilaksanakan sejak tahun lalu.

Dalam sidang media sama, Datuk Hazani memaklumkan PDRM akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Ops Kereta Sapu di seluruh negeri.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *