Komitmen kerajaan laksana SMJ tidak akan goyah: Hajiji

KOTA KINABALU: Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah komitmen kerajaan yang tidak akan goyah dengan segala polemik semasa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan perlu meneruskan pelan tindakan yang ada tanpa terlalu berpolitik, sebaliknya menghargai mandat yang diberikan rakyat.

Menurutnya, SMJ adalah hala tuju bersama milik semua anak watan Sabah dan bukannya pelan milik peribadi Ketua Menteri mahupun jemaah menteri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri amat menghargai peranan pengamal media di Sabah dalam melaporkan dasar-dasar yang dibentuk dalam tempoh pentadbiran GRS.

“Sudah tentu kita amat terkesan dari sudut ekonomi kerana kita kini dalam fasa pemulihan dan masih bertungkus-lumus melawan pandemik COVID-19 di Sabah.

“Saya juga gembira kerana pihak media turut membantu kerajaan dalam usaha memberi pencerahan kepada rakyat terutama pada masa sukar ini apabila kehidupan dan ekonomi rakyat terjejas akibat pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Pengarang dan Pengamal Media Sabah di sini semalam.

Dalam pada itu, Hajiji turut meminta media untuk sama-sama mengingatkan orang ramai mengenai pentingnya program imunisasi yang sedang dijalankan kerajaan.

“Pemberian vaksin tidak akan bermakna jika kita tidak bekerjasama. Jauhi segala berita palsu dan propaganda yang didalangi agenda politik sempit yang dipelopori oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Selagi masih ada tempat di Sabah yang terdedah, seluruh negeri akan tetap berisiko.

“Saya berharap media akan terus membantu meningkatkan kesedaran mengenai perlunya vaksinasi dan merungkai sebarang keraguan  melalui laporan yang tepat dan benar, agar semua orang akan mengetahui kepentingan dan manfaat vaksinasi,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan pemberian suntikan vaksin kepada pengamal media di Sabah.

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu memastikan tahap keselamatan para pengamal media ketika bertugas terus terbela.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir (kanan) dan Datuk Wetrom Bahanda; serta Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Antara pengamal media yang hadir Ketua Pengarang Utusan Borneo Lichong Angkui; Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar; Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Jimmy Goh; dan Ketua Editor The Borneo Post Chiu Nai Wen. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *