Klinik Kesihatan Weston kini mempunyai kemudahan rawatan SARI

BEAUFORT: Klinik Kesihatan Weston kini mempunyai bangunan untuk rawatan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) untuk penduduk Lumadan serta masyarakat disekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, dengan adanya bangunan itu ia diharapkan dapat memberi keselesaan kepada penduduk terutama yang datang untuk membuat saringan COVID-19.

“Pihak kerajaan terpanggil untuk menyediakan kemudahan itu di Klinik Kesihatan Weston bagi membantu memudahkan kehidupan rakyat. 

“Saya melihat kepada keperluan semasa rakyat di DUN Lumadan, kerana sesi persekolahan baharu saja bermula. Kita dalam langkah berjaga-jaga di masa pandemik Covid-19 Ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Bangunan SARI kepada Penasihat Klinik Kesihatan Weston Anie Aznezam Abdul Rahman , di sini, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa klinik seharusnya mempunyai ruangan yang cukup sekiranya ramai datang untuk mendapatkan rawatan terutamanya bagi penyakit kronik. 

“Bilik ini boleh menampung lima hingga enam pesakit. Bilik ini juga mampu digunakan sekiranya pihak Klinik Kesihatan Weston tidak dapat menampung jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan khususnya bagi penyakit kronik mahupun pesakit COVID-19,” katanya.

Ruslan berharap Bangunan SARI itu akan dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung Weston serta sekitarnya ketika datang membuat saringan COVID-19 dan menerima suntikan vaksin selain mendapatkan pelbagai rawatan di klinik berkenaan.

Beliau turut mengingatkan setiap lapisan masyarakat agar mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin. 

Hadir sama ialah Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort Dr. Natazcza Abdul Rahim, Ketua Balai Polis Weston Bawin Ak Mujab serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *