Kg Simunul dijadikan jeti nelayan

SEMPORNA : Kerajaan negeri bercadang membina jeti nelayan di kawasan setinggan kampung (Kg) Simunul, di sini bagi memberikan kemudahan kepada penduduk terutamanya nelayan sedia ada untuk terus mencari sumber pendapatan mereka.

Cadangan itu berikutan kawasan tersebut akan dikosongkan dan semua penduduk akan dipindahkan ke penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria secara berperingkat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan akan mencari jalan penyelesaian membantu penduduk Kg Simunul yang akan dipindahkan itu nanti supaya mereka boleh memulakan kehidupan baharu.

“Kebanyakan penduduk di situ merupakan nelayan dan cara terbaik untuk membantu mereka terus turun ke laut walaupun dipindahkan kelak adalah penyediaan jeti nelayan.

“Kita tidak mahu pindahkan mereka dan membiarkan begitu sahaja tanpa ada jalan penyelesaian untuk mereka mencari sumber rezeki dan memulakan kehidupan baharu,”katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata perkara ini akan dibawa ke mesyuarat negeri pada 7 April akan datang supaya tindakan segera dilaksanakan.

“Kita juga akan bincang secara terperinci dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengubah hala tuju kehidupan penduduk yang tinggal di penempatan setinggan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat kawasan dan memberi bantuan kepada mangsa kebakaran Kg Simunul, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Andi Muhammad Suryady Bandy dan Pegawai Daerah Semporna Suhaimi Ejip.

Menurutnya, perpindahan penduduk Kg Simunul ke PPR Bubul Ria merupakan satu keputusan yang tepat kerana keadaan penempatan di kampung tersebut tidak selamat dan mudah berlakunya kebakaran.

“Bukan sahaja di Semporna bahkan banyak lagi penempatan di Sabah ini masih berstatus setinggan dan tidak selamat untuk didiami.

“Isu setinggan ini sudah dibincangkan dalam Kabinet kerajaan negeri dan kita telah merancang mencari beberapa kawasan tanah untuk dijadikan kawasan penempatan yang baik untuk memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan setinggan,”katanya.

Terdahulu, kebakaran di Kg Simunul yang berlaku kelmarin melibatkan kemusnahan sebanyak 91 buah rumah setinggan dan sebanyak 528 mangsa telah dipindahkan di dua ย penempatan sementara iaitu PPR Bubul Ria serta Dewan Belia Semporna. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *