Ketua Adat harus profesional menghadapi kebanjiran maklumat

BEAUFORT: Pemimpin-pemimpin adat khususnya di peringkat akar umbi disarankan agar tidak mengamalkan unsur-unsur sabotaj.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Hj. Ruslan Muharam berkata, perbezaan dari segi politik adalah perkara biasa, tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat, semua pemimpin adat tidak boleh menggunakan perbezaan kelompok, atau agama sebagai penghalang.

“Hari ini sebaran maklumat dan promosi menjangkaui media arus perdana. Kita seharusnya lebih kreatif dan inovatif dalam menjalankan tugas.

“Namun, sukacita saya ingatkan supaya anda semua tidak mengambil bulat-bulat maklumat yang diberikan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Perlantikan Ketua-Ketua Adat DUN Lumadan di daerah Beaufort, semalam.

Beliau berkata, Ketua-Ketua Adat perlu sentiasa peka terhadap pihak-pihak yang menyalahgunakan media, menyebarkan maklumat atau tuduhan liar tanpa mempunyai kebenaran sehingga mewujudkan perselisihan fahaman.

Oleh itu katanya, semua Ketua Adat perlu bersikap profesional dalam hal demikian.

“Anda juga diingatkan ketika melaksanakan tugas masing-masing, anda perlu bekerja dengan penuh semangat.

“Sentiasa memberikan yang terbaik agar rakyat akan terus memberikan kepercayaan dan sokongan dalam memajukan kawasan DUN Lumadan sebagaimana yang dimahukan rakyat di sini,” katanya.

Menurutnya, dengan lantikan berkenaan, semua yang dilantik perlu bukan sahaja lebih peka tetapi juga mengambil tahu perihal rakyat dan kampung khususnya di kawasan masing-masing.

Beliau berharap, usaha yang dilakukan itu menjadi detik sejarah sebagai titik permulaan bagi memberikan komitmen serta tanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Dalam pada itu, Ruslan juga mencadangkan agar bilangan Ahli Majlis Daerah Beaufort yang ada sekarang iaitu 20 orang ditambah 10 lagi ahli menjadikan keseluruhan 30 ahli.

Katanya, penambahan itu penting dalam usaha menyimbangkan perkhidmatan untuk tiga kawasan seperti DUN Membakut, Klias dan Lumadan.

“Pada ketika ini DUN Lumadan hanya adalah lima orang ahli majlis sahaja, Membakut (lima orang) dan Klias 10 orang.

“DUN Lumadan adalah dibawah pentadbiran daerah Beaufort sepenuhnya. Saya juga mencadangkan Ketua-Ketua Adat perlu ditambah berdasarkan kepadatan penduduk dan pertambahan kampung-kampung baharu yang banyak,” katanya.

Jelasnya, perkara itu akan disentuh dalam perbahasan Belanjawan negeri 2021 di Dewan Undangan Negeri Sabah minggu hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *