Kesaksamaan gender penting untuk pembangunan luar bandar: Ruslan Muharam

Oleh: Ranya Saai

BEAUFORT: Kerajaan Negeri Sabah terus rancak memastikan kesaksamaan gender dalam pembangunan negeri termasuk menganjurkan program webinar gender bagi mewujudkan kesamarataan dalam kalangan kaum lelaki dan wanita dalam sektor pekerjaan khususnya pembangunan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) serius dalam merealisasikan perkara itu termasuk mengambil langkah buat pertama menganjurkan Webinar Gender bagi pembangunan luar bandar.

Lebih bertuah katanya, daerah Beaufort menjadi daerah pertama di Sabah yang melaksanakan program itu.

Katanya, usaha tersebut akan memberi ruang dan peluang yang sama rata kepada wanita untuk maju dan terlibat dalam pembangunan seperti golongan lelaki.

“Seminar selama dua hari ini diharap dapat memberikan pendedahan kepada penduduk luar bandar terutamanya kaum wanita dalam pembangunan kerana golongan ini yang akan bertanggungjawab membantu golongan atasan dalam pembangunan bandar, daerah mahupun kampung,” katanya ketika berucap dalam majlis Webinar Gender Dalam Pembangunan di Luar Bandar Zon Beaufort disini hari ini.

Menurutnya, dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Sabah mengutamakan pembangunan sama rata antara gender dengan menambah peruntukan Di Jabatan Hal Ehwal Wanita untuk membolehkan ia melatih para pelatih yang telah dikenalpasti.

“Saya percaya pendedahan awal tentang konsep gender ini akan memberi pengalaman baru, mencetuskan pemikiran baru dan mengubah persepsi baru terutamanya melalui aktiviti lawatan lensa gender di sekitar tempat awam contohnya taman awam, taman permainan, terminal bas dan lain-lain tempat umum.

“Saya mengucapkan tahniah kepada JHEWA bersama dengan UPPM Lumadan, UPPM Klias, Majlis Daerah Beaufort, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Cawangan Beaufort, sekali gus melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Kampung serta Ketua Masyarakat Cina bagi menjayakan program seumpama ini dan meneruskan perjuangan kesaksamaan gender di akar umbi kepimpinan,” katanya.

Usaha itu perlu diteruskan di daerah lain di negeri bagi mewujudkan keseimbangan dan kesamarataan gender dalam pembangunan di bandar mahupun luar bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *