Kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan landaikan keluk kes COVID19 di Sabah

KOTA KINABALU: Hubungan erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terbukti berjaya melandaikan keluk pandemik COVID19 di negeri ini. 

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID19. 

“Kita bersyukur kerana dalam tempoh dua minggu ini, jumlah kes COVID19 di Sabah telah menunjukkan trend penurunan.

“Ini adalah hasil usaha dan kerjasama erat semua pihak termasuk para petugas di jabatan serta pelbagai agensi sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan dalam memutuskan rantaian penularan COVID19.

“Melalui jawatankuasa yang dibentuk bersama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan juga sentiasa memberi bantuan dalam bentuk logistik, sumber manusia serta aset-aset yang ada bagi menangani pandemik ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Samsuni yang telah berkhidmat selama 33 tahun dan bertugas di Sabah sejak 17 Jun 2019, akan bersara wajib pada 20 Februari ini.

Hadir mengiringi beliau di Istana Negeri ialah Timbalan Setiausaha Persekutan, Dr. Muharrir Kamaruddin – SUMBER: JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *