Kerajaan Sabah terbuka wakil rakyat pembangkang

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersikap terbuka untuk wakil rakyat  pembangkang melakukan perbincangan dengan pegawai daerah masing-masing terutama bagi usaha pembangunan kawasan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata malah, kerajaan negeri juga tiada halangan untuk pegawai daerah terlibat menyalurkan maklumat tentang pembangunan dan pengunaan tanah kepada wakil rakyat pembangkang yang memerlukannya.

“Tidak menjadi keberatan kerajaan (negeri) mengizinkan pegawai daerah membekalkan maklumat kepada Yang Berhormat (Pembangkang),” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) sama ada kerajaan membenarkan pegawai daerah membekalkan maklumat kepada wakil rakyat bukan kerajaan.

Menjawab soalan asal Ewon sama ada kerajaan negeri membenarkan ADUN pembangkang terlibat dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jahid berkata belum ada keputusan mengenai perkara itu.

“Walau bagaimanapun, perkara ini akan diteliti dan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury ketika menjawab soalan Mohd Arsad Bistari (BN-Tempasuk) mengenai inisiatif pihak kementerian bagi mewartakan jeti-jeti pemunggahan ikan di Sabah, berkata buat masa ini tidak ada keperluan untuk pewartaan bagi mana-mana jeti untuk tujuan pemunggahan ikan.

“Memastikan jeti pemunggahan ikan ini boleh beroperasi, maka sesuai dengan peruntukan perundangan yang termaktub dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002, mana-mana pemilik atau pengendali mana-mana jeti, termasuklah jeti untuk memunggah ikan, hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Pada masa ini, di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002, JPDS hanya memainkan peranan untuk mengeluarkan kebenaran dan tiada keperluan pewartaan setakat ini,” tambahnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *