Kerajaan negeri Sabah terus pantau perkembangan kes COVID-19 dalam sektor perladangan sawit

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan memantau perkembangan situasi kes COVID-19 membabitkan sektor perladangan sawit di Sabah di samping juga akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pihaknya melahirkan kebimbangan apabila melihat situasi perkembangan kes COVID-19 melibatkan sektor peladangan sawit di Sabah.

“Sehingga 24 Januari lepas, sebanyak enam kluster COVID-19 dilaporkan hasil daripada pelaksanaan saringan pekerja-pekerja asing di bawah Program PERKESO.

“Daripada enam kluster ini, sebanyak 254 kes positif yang melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang.

“Kerajaan negeri menghargai inisiatif pihak pemain industri peladangan untuk melaksanakan sekatan pergerakan keluar masuk pekerja secara sukarela di ladang masing-masing sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan pengecualian diberikan kepada wakil pengurusan untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas, petugas saringan COVID-19, pekerja pengangkutan hasil ladang dan anggota pengurusan yang diberi kebenaran.

Hajiji juga turut berkata pihak ladang diarah untuk melaksanakan ujian secara menyeluruh ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari mulai hari ini yang melibatkan sebanyak 1,160 ladang estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit di Sabah dengan jumlah pekerja sebanyak 153,250 orang.

“Bagi ladang yang ada kes positif COVID-19, pihak KKM akan menutup operasi ladang dengan serta merta untuk memastikan kerja-kerja pencegahan dapat dilaksanakan.

“Pembukaan semula operasi ladang adalah tertakluk kepada penilaian pihak KKM.

“Kerajaan negeri juga menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga- jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *