Kerajaan negeri Sabah sumbang bantuan kewangan RM19.7 juta untuk sekolah cina, tokong dan persatuan Cina

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM19.7 juta kepada sekolah Cina termasuk sekolah persendirian, tadika, tokong dan persatuan Cina di Sabah, di sini hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata bantuan kewangan tersebut jelas memperlihatkan kerajaan GRS sentiasa mengutamakan keadilan dalam semua aspek termasuk memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM43 juta kepada sekolah iaitu melibatkan sekolah bukan Islam di Sabah (RM18 juta) badan keagamaan (RM25 juta) untuk tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chu, selain beberapa pemimpin persatuan Cina di Sabah.

Daripada jumlah terbabit, sebanyak RM13.5 juta diberikan kepada sekolah yang membabitkan tujuh sekolah menengah jenis kebangsaan Cina (SMJKC) sebanyak RM2.1 juta, sembilan sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) sebanyak RM3.65 juta, RM6.92 juta untuk 83 buah SJK Cina dan RM801,500 untuk 142 buah tadika.

Sementara itu, bagi tujuan pembangunan dan pembaikan tokong, sebanyak RM5.29 juta telah diluluskan yang membabitkan 145 tokong di seluruh Sabah.

Turut diluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta kepada beberapa persatuan Tiong Hua di Sabah untuk menjalankan aktiviti sempena Tahun Baru Cina.

Dalam pada itu, Hajiji berkata satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan Negeri bagi meneliti permohonan yang diterima daripada badan keagamaan dan sekolah bukan Islam daripada seluruh Sabah.

“Diharapkan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri ini, dapat sedikit sebanyak meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat yang terbabit.

“Ini sekali gus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *