Kerajaan negeri Sabah sambut baik cadangan ambil alih semula tapak, bangunan Wisma Radio Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan pertubuhan badan bukan kerajaan, Radio Sabah Alumni Association (RASA) untuk mengambil alih semula tapak dan bangunan Wisma Radio Sabah.

Presiden RASA, Datuk Gan Po Tiau berkata pihaknya juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan kerja pengekalan dan pemuliharaan bangunan Wisma Radio Sabah bagi tujuan untuk dijadikan muzium atau galeri penyiaran.

“Kami membincangkan isu berkaitan pengambil-alihan semula tapak dan bangunan Wisma Radio Sabah di Jalan Tuaran yang juga tapak lama bangunan RTM Sabah.

“Bangunan tersebut masih tersergam di atas anak bukit bersebelahan dengan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan milik Jabatan Audit Negara Cawangan Sabah.

“Wisma Radio Sabah masih kekal di atas tapak berkenaan atas inisiatif RASA pada 2016, sewaktu keseluruhan tapak itu diserahkan kepada Jabatan Audit Negara oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

“Ketua Menteri menyambut baik syor berkenaan dan menyatakan sokongan bahawa tapak berkenaan wajar diserahkan semula kepada kerajaan negeri kerana ianya telah pun diisytiharkan sebagai ‘Khazanah Budaya Negeri’ pada 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, atas syor yang dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah (KePKAS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas sesi kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung RASA, Effendi Sunoh, Bendahari, Rahim Kahar dan Kordinator Media, Salim Ibrahim.

Dalam pada itu, Gan turut mencadangkan
sebuah tugu dibina di tapak berkenaan
bagi memperingati penyertaan Sabah dalam pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Ini adalah kerana Wisma Radio Sabah merupakan sekretariat bagi Suruhanjaya Cobbold yang bermesyuarat dan bersidang di bangunan berkenaan pada Februari 1962,” katanya.

Sementara itu, Gan turut menjelaskan pihaknya mempelawa Hajiji sebagai ahli dan penaung berikuta Hajiji pernah bertugas sebagai penyiar di RTM Sabah pada era 70- an.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.