Kerajaan negeri Sabah komited bantu usahawan IKS Sabah menjadi usahawan berilmu

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited dalam membantu mentransformasikan semua usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini untuk menjadi usahawan berilmu menerusi program dan bengkel keusahawanan yang dianjurkan.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata program seperti Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MID) 2020 merupakan salah satu inisiatif pihaknya bagi membantu usahawan Sabah mengenai pembungkusan produk.

“Saya difahamkan matlamat utama Program TRUS-MID 2020 ini diadakan adalah bagi membantu usahawan IKS Sabah menaiktaraf kualiti pembungkusan dan meningkatkan ilmu pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan.

“Disamping itu, program ini juga bertujuan untuk membantu peserta mengembangkan pasaran produk mereka ke pasaraya-pasaraya besar kerana kualiti bungkusan produk dan syarat piawaian yang ditetapkan oleh pihak pasaraya telah dipatuhi.

“Sudah tentu para usahawan amat mengalu-alukan program seperti ini kerana ia membuka peluang kepada usahawan yang baru untuk memperluaskan pasaran produk mereka dari yang sebelumnya.

“Program TRUS-MID yang mula dilaksanakan sejak tahun 2011 hingga sekarang telah membantu ramai usahawan yang menghadapi masalah bungkusan produk yang kurang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Penutupan Progran Transformasi Usahawan Sabah bertempat di Wisma Kewangan Kota Kinabalu, semalam.

Dalam pada itu, Joachim merangkap Timbalan Ketua Menteri itu berkata beliau berharap agar semua usahawan terutamanya yang menyertai program terbabit untuk memanfaatkan semua ilmu dalam membantu menyumbangkan peningkatan ekonomi Sabah.

Sementara itu, Joachim juga memberitahu kementerian yang diterajuinya telah merangka banyak program bagi membantu usahawan IKS Sabah.

“Banyak program bagi memperkasakan IKS Sabah telah dirancang oleh kementerian saya.

“Pada pembentangan Bajet Negeri Sabah 2021, pembangunan IKS telah diperuntukan sebanyak RM30 juta dan sektor ini akan terus diberi tumpuan sebagai pemangkin utama kepada industri pembuatan.

“Oleh itu, kementerian saya akan sentiasa berusaha setiap tahun untuk memohon agar peruntukan pembangunan IKS ditambah bagi memberi manfaat kepada usahawan IKS di Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan harapannya agar usahawan Sabah berusaha memastikan produk mereka terpilih untuk mengikuti ekspo ke peringkat luar negeri ataupun antarabangsa.

Joachim ketika berucap menjelaskan dari 315 permohonan yang diterima pihaknya untuk menyertai TRUS-MID 2020, hanya 25 orang usahawan yang berjaya terpilih menjadi peserta program terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *