Kerajaan negeri Sabah kerugian RM456.7 juta akibat kecurian bekalan air dan elektrik

KOTA KINABALU: Sabah mengalami kerugian sebanyak RM456.7 juta secara keseluruhan akibat kecurian bekalan air dan elektrik di negeri ini dalam tempoh 10 tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata memperincikan jumlah kerugian di mana bekalan air mencatatkan kerugian sebanyak RM342 juta manakala RM114.7 juta kerugian dicatatkan berpunca dari kecurian elektrik.

Beliau memperincikan aktiviti penyambungan elektrik haram majoritinya berlaku di kawasan setinggan.

“Aktiviti penyambungan haram yang lazimnya berlaku di kawasan setinggan mengakibatkan kerugian sebanyak RM90 juta bagi tempoh 10 tahun mulai 2010 sehingga kini.

“Bagi Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) terdapat sebanyak 3,408 kes yang telah berjaya dikesan sejak tahun 2010 sehingga kini dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM24.7 juta kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabag berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Aliakbar Gulasan (PAS-Dilantik) mengenai kerugian ditanggung kerajaan akibat penyambungan haram elektrik dan air.

Dalam pada itu, Bung turut berkata pihaknya telah merangka tiga kaedah bagi mengatasi masalah penyambungan haram elektrik.

“SESB menjalankan operasi pemotongan sambungan, kempen kesedaran bahaya aktiviti itu dan pembekalan elektrik secara pukal melalui pengagih tenaga bebas (IPD).

“Sementara itu, bagi mengurangkan kerugian akibat sambungan haram air, kementerian saya melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menguatkuasakan tindakan mengikut peruntukan Enakmen Bekalan Air 2003.

“Antaranya, menjalankan tindakan pemotongan sambungan haram secara bersepadu, mengenakan tindakan kompaun kepada pesalah dan meningkatkan lagi program kesedaran kesalahan melakukan sambungan haram,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *