Kerajaan negeri Sabah jamin akan pastikan rakyat tidak terputus bekalan makanan

KOTA MARUDU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Wetrom Bahanda memberi jaminan rakyat yang terjejas dan menjadi mangsa bencana alam akan sentiasa dibantu dan dipastikan untuk terus mempunyai bekalan makanan.

“Kerajaan Negeri dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberikan bantuan terutama bagi mereka yang menjadi mangsa kepada kejadian bencana alam yang terputus bekalan makanan.

“Terima kasih kepada diatas keprihatinan pihak Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan pihak jabatan kebajikan yang terus komited membantu mangsa-mangsa yang terputus bekalan makanan, khasnya di kawasan ini (Bandau),” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau itu juga turut menyeru semua pihak untuk sama-sama memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam yang memerlukan.

“Di saat ini, kita semua akan lebih kuat dengn adanya penyatuan dan berusaha keras bersama, berkongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik yang menjadi mangsa bencana alam.

“Saya yakin setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan semoga semua terus bersabar, berdoa kepada Tuhan untuk kita semua diberikan kekuatan untuk menempuh dugaan besar ini,” ujar beliau lagi.

Semalam, Wetrom menghantar bekalan makanan kepada empat buah kampung yang telah terputus hubungan akibat daripada berlakunya tanah runtuh.

“Tanah runtuh ini menyebabkan jalan utama kawasan ini telah terputus hampir jarak 300 meter meliputi Kampung Torintidon, Kampung Gontoi, Kampung mahligai dan Kampung Pampang Poring di di DUN Bandau ini.

“Dan untuk ini, sebanyak 165 bakul makanan diberikan kepada penduduk di kawasan ini yang terjejas,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.