Kerajaan negeri Sabah beri peruntukan khas RM3.1 juta kepada 31 ADUN pembangkang

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini telah mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM 3.1 juta kepada 31 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata peruntukan khas
RM100,000 kepada setiap seorang wakil rakyat pembangkang terbabit adalah untuk membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Atas rasa penuh tanggungjawab, saya memberikan peruntukan khas ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Peruntukan ini adalah untuk membantu wakil rakyat pembangkang dalam usaha meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing akibat pandemik ini.

“Pemberian peruntukan khas ini sejajar dengan usaha kerajaan GRS yang sentiasa mahu memastikan semua rakyat yang berdepan cabaran pandemik ini dapat dibantu dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai (ADUN Kiulu); Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya (ADUN Pantai Dalit) dan Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Husain.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata beliau berharap peruntukan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan DUN yang dikuasai pembangkang.

Katanya, peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan RM3.1 juta itu akan disalurkan secepat mungkin kepada semua ADUN pembangkang melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

Mengenai majlis itu, Hajiji berharap semua yang baharu dilantik itu dapat membantu kerajaan dalam merealisasikan aspirasi rakyat dan bersama merancakkan pembangunan khususnya di Tuaran.

“Saya mengharapkan ketua adat yang dilantik dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memartabatkan Mahkamah Anak Negeri. Tingkatkan ilmu dalam bidang masing-masing agar dapat menjalankan tugas pengadilan dengan sebaiknya.

“Begitu juga kepada Ketua Masyarakat Cina dan ketua kampung yang telah dilantik agar dapat menjalankan tanggungjawab secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa di kawasan masing-masing.

“Sebagai pemimpin yang paling dekat dengan masyarakat, ketua kampung dan Ketua Masyarakat Cina perlu menjadi mata dan telinga kerajaan agar tahu setiap permasalahan penduduk di kawasan masing-masing, terutama ketika pandemik ini,” katanya.

Beliau juga meminta semua pemimpin di peringkat akar umbi ini akan bersama kerajaan untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan selama lima tahun sehingga 2025 di negeri ini.

Seramai 117 orang penerima membabitkan ketua anak negeri, wakil ketua anak negeri, ketua masyarakat Cina dan ketua kampung dari DUN Sulaman dan Pantai Dalit menerima watikah dari Hajiji dalam majlis terbabit.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *