Kerajaan negeri Sabah bakal agihkan sumbangan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR mangsa banjir dan air pasang besar

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bakal mengagihkan sumbangan wang ihsan berjumlah RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir dan fenomena air pasang besar di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata agihan sumbangan wang ihsan terbabit bakal diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pejabat daerah yang terlibat dengan bencana alam tersebut.

Katanya, selain sumbangan wang, kerajaan negeri Sabah juga telah mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah yang mengalami banjir.

“Kerajaan negeri juga menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan NADMA telah menyalurkan bantuan berbentuk makanan bermasak kepada semua mangsa yang telah dipindahkan ke PPS dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap KIR,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Hajiji turut berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah yang terlibat banjir dan fenomena air pasang besar telah menggerakkan seramai 635 orang anggota dari pelbagai agensi dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak lalai mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19 ketika banjir dan fenomena air pasang besar ini.

“Dalam menghadapi bencana banjir dan air pasang besar semasa pandemik COVID-19, kerajaan negeri amat menitik beratkan agar semua pihak yang terlibat untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, kerajaan negeri juga menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.