Kerajaan negeri hargai usaha NGO beri sumbangan bantu rakyat terjejas

TAMPARULI: Inisiatif pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu menyumbangkan makanan dan keperluan asas kepada masyarakat kampung yang terjejas akibat pandemik COVID-19 amat dihargai pihak kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata sumbangan sedemikian amat diperlukan oleh rakyat, terutama sekali yang terpaksa menjalankan kuarantin di rumah.

“Mereka tidak dapat bergerak untuk membeli bahan makanan sendiri. Justeru, peranan pihak NGO dan syarikat korporat dalam menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada golongan tersebut juga amat dialu-alukan buat masa ini, selain bantuan kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata selepas menyaksikan penyerahan bantuan bakul makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Sukarelawan Love Angel Sabah di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah, Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Sabah, Romeo Sindeh, dan Pegawai Kerja Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Joanna Sinteh.

Jahid, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berharap agar lebih banyak NGO lain yang akan tampil membantu agar mereka yang terkesan akan terbela di dalam menghadapi kehidupan harian.

Bagi pihak rakyat di Tamparuli, beliau mengucapkan terima kasih kepada Love Angel Sabah dan semua sukarelawan yang terlibat.

“Kita berharap semoga penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan agar rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Love Angel Sabah, Wong Pau Nyuk berkata, sebanyak 120 bakul makanan disumbangkan kepada sebanyak lima buah kampung yang menerima kesan pandemik akibat dikuarantin.

“Kita amat memahami keperluan penduduk yang mengalami kesukaran untuk keluar dari rumah kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Hadir sama, kakitangan UPPM, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, Pemaju Mukim, James Sinail dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, Harris J Mintu.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.