Kerajaan negeri gesa petani manfaatkan myGAP

MEMBAKUT: Golongan petani di negeri ini digesa memanfaatkan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk menjana kualiti pertanian dan alam sekitar.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mendedahkan skim yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu berjaya meletakkan petani Sabah antara yang paling ramai dalam senarai pensijilan myGAP di Malaysia.

“MyGAP adalah penjenamaan semula bagi Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) sejak tahun 2002.

“Pada tahun lalu, Sabah telah berjaya mendapat 20 pensijilan myGAP dan tujuh daripadanya merupakan petani atau peserta dari daerah Beaufort.

“Namun paling membanggakan, tahun ini, daripada 50 penerima sijil di Sabah, 17 penerima adalah petani di daerah ini.

“Oleh itu, harapan saya terhadap seluruh masyarakat petani di negeri ini agar memberi perhatian terhadap piawaian kualiti termasuk kualiti tanaman, alam sekitar dan kualiti petani itu sendiri.

“Piawaian yang tinggi ini dapat menjamin keselamatan makanan yang kita makan, keselamatan petani itu sendiri dan juga keselamatan alam sekitar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Papan Tanda MyGAP kepada pengusaha tanaman padi yang mendapat pengiktirafan Pertanian Malaysia di sini, hari ini.

Antara yang hadir mengiringi beliau, Pegawai Daerah Beaufort Abdul Iman Basirun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Jamaluddin Lani, Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Ramlan Awang Ali. 

Terdahulu, Arifin yang dalam rangka lawatan kerja selama dua hari ke Bahagian Pedalaman Bawah dan Pedalaman Atas, melawat Rumah Anak Yatim dan Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacobkhan dan menyampaikan Bantuan Makanan COVID19 kepada para pelajar.

Arifin juga menyampaikan Bantuan Makanan COVID19 kepada golongan asnaf di Perkarangan Masjid Cahaya Hikmah Kampung Brunei dekat sini.

Dalam program berasingan, Bantuan Makanan COVID19 juga disampaikan beliau kepada para pelajar ketika mengadakan lawatan ke Mahad Tahfiz Darul Furqan Sipitang.

Mengakhiri lawatan kerja beliau pada hari pertama ini, Arifin sempat meninjau keperluan Masjid Daerah Tenom sambil menyampaikan Bantuan Makanan COVID19 kepada 80 orang saudara baharu sebelum melawat dan menyampaikan bantuan sama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tenom.

Rombongan lawatan kerja tersebut akan meneruskan misi seumpama ke daerah Keningau dan Tambunan, esok. – SUMBER: JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published.