Kerajaan Negeri akan perkasakan usahawan wanita: Joachim

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian akan memainkan peranan penting bagi membantu memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai program dan latihan yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata pihaknya akan berusaha untuk meningkatkan penglibatan usahawan di kalangan wanita supaya golongan itu mampu berdikari terutamanya ketika waktu saat genting.

“Penting untuk kita kembangkan bakat dan kebolehan usahawan-usahawan wanita kita kerana mereka kini menjadi pelapis kepada usahawan sedia ada, dan mereka juga mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kunjungan hormat daripada Persatuan Milenial Usahawan Wanita Maju Sabah (MUMS) di sini, hari ini.

Penasihat MUMS, Datuk Dr. Tarsiah TZ Taman berkata, MUMS berperanan sebagai perantara bagi mendapatkan bantuan dan bimbingan yang sewajarnya daripada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengadakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan keusahawanan.

Pihaknya (MUMS) memerlukan bantuan geran sepadan (matching grants) bagi meningkatkan kapasiti serta keberkesanan produktiviti pengeluaran melalui automasi dan teknologi di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Dalam pada itu, Joachim turut mengajak usahawan wanita yang berminat, sama ada individu atau persatuan untuk membuat permohonan segera.

“Pihak DIDR akan membuat tapisan dan mengenal pasti mereka yang layak dengan mengambil kira kriteria pemohon dan jika mereka adalah usahawan yang sudah berjaya, pastinya peluang akan diberikan kepada usahawan lain yang lebih memerlukan.

“Melalui penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, pasti mampu menjadi satu pembuka jalan kepada mereka yang mungkin tidak berpeluang untuk mendapatkan kerja dalam sektor Kerajaan mahupun swasta,” kata Joachim lagi.

Sementara itu, Joachim turut memberitahu bahawa kementeriannya bercadang untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang proaktif dan berdaya saing.

“Kementerian kita akan berusaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang proaktif dan ini secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pertambahan hasil pendapatan dalam negeri Sabah,” ujar beliau lagi.

One thought on “Kerajaan Negeri akan perkasakan usahawan wanita: Joachim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *