Kerajaan GRS-BN komited, terus tuntut hak Sabah dalam MA63

KOTA KINABALU : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) komited untuk meneruskan usaha bagi menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Sabah akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan-tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka, di sini malam ini.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah,Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Hajiji berkata, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA 63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *