KePKAS sambut baik kelonggaran buka semula sektor pelancongan
Oleh: Zacherlyn E
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menyambut baik kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan kepada sektor pelancongan dan kebudayaan.
Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata kebenaran diberikan kepada premis seperti zoo, akuarium, pusat pendidikan hiburan (edutainment), taman semula jadi, sukan ekstrem, rekreasi dan ladang.
Katanya, premis seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema juga turut dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi penjarakan fizikal dan kapasiti pengunjung 50 peratus daripada kebiasaan.
“Saya ingin menyeru semua pihak dari pemain industri dan pelancong untuk sentiasa peka dengan keadaan persekitaran, mengikut peraturan yang ditetapkan serta menjaga kesihatan diri,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.
Jafry turut mengingatkan pengusaha premis untuk membuat persediaan bagi menerima kunjungan daripada pelawat yang bakal berkunjung.
“Pandemik COVID19 masih bersama kita dan kita tidak dapat menjangkakan berapa lama lagi keadaan ini akan berterusan.
“Oleh itu, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing, kekalkan disiplin diri dalam norma baharu yang sekarang sudah menjadi rutin dalam kehidupan kita kerana kita mahu sektor pelancongan dan semua aktiviti yang berkaitan dengan sektor ini mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan keselamatan dan kesihatan para pelancong serta pengusaha aktiviti,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Jafry juga memberitahu bahawa kementeriannya sudah bersiap-sedia untuk melaksanakan gelembung perjalanan atau ‘travel bubble’ bagi tempoh terdekat namun masih bergantung pada keadaan semasa dalam negeri Sabah.
“Saya amat berharap agar program vaksinasi kita berjalan lancar dan wabak COVID19 dibendung segera kerana industri pelancongan juga akan kembali pulih dan menjana ekonomi Sabah,” katanya.
Tambah beliau juga, pelaksanaan vaksinasi yang berkesan juga akan akan mendorong kepada pembukaan semula sempadan dan aktiviti perjalanan serta pelancongan antarabangsa.