Kementerian bincang permohonan kecualikan cukai jalan kerana jalan rosak

SANDAKAN: Kementerian Pengangkutan akan membincangkan isu permohonan dan rayuan pengguna jalan raya kenderaan persendirian di Sabah yang mahukan pengecualian bayaran cukai jalan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya memahami hasrat pengguna jalan raya di Sabah tetapi buat masa ini beliau tidak mahu menjanjikan apa-apa, tetapi akan membawa isu itu ke kementerian serta pihak berkaitan.

“Saya akan bincang dengan pihak kementerian dan melihat implikasinya macam mana, saya akan bincang dengan pihak kerajaan negeri, Menteri Kerja Raya Sabah dan macam mana kita nak buat.

“Saya tengok keadaan ini kena lihat secara menyeluruh dan saya faham apa permintaan itu.

“Saya tidak akan buat satu janji bulan dan bintang, tak boleh, kita kena, ini tertakluk kepada kemampuan kewangan negara,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Perasmian Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan, di Sandakan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pengguna jalan raya di Sabah mahukan pengecualian bayaran cukai jalan susulan keadaan jalan raya di Sabah yang agak daif.

Pengguna meminta agar pengecualian bayaran cukai jalan diberikan sementara menunggu pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo siap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *