Kembalikan konteks sebenar penubuhan Malaysia
Sebelum pembentukan Malaysia, Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu adalah tiga wilayah berbeza.
Pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 juga sebenarnya hanya membabitkan negeri di Semenanjung, sementara Sabah dan Sarawak masih di bawah penguasaan British.
Memandangkan negeri di Semenanjung mempunyai pertalian erat dengan Sabah dan Sarawak dari segi bangsa, adat dan budaya, usaha menyatukan tiga wilayah dijayakan menerusi pungutan suara dijalankan Suruhanjaya Cobbold.
Penggabungan Sabah dan Sarawak juga bertujuan memperkukuhkan kerjasama ekonomi, memastikan keseimbangan komposisi kaum, selain menyekat peluasan ideologi komunis.
Penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia ketika itu menjadikan status wilayah itu bertukar menjadi negeri.
Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai negeri bersama negeri lain seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis.
Justeru, inisiatif pengiktirafan wilayah Sabah dan Sarawak kini, sebenarnya mengembalikan semula kedua-dua negeri itu kepada taraf menyamai Semenanjung.
Lebih penting, ia juga mampu memberi kesan perundangan bagi mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pindaan ke atas Perlembagaan juga perlu dilakukan bagi memastikan status wilayah mencapai objektifnya.
Dalam MA63, jelas menyatakan Malaysia terbentuk atas gabungan tiga wilayah iaitu Semenanjung Tanah Melayu, wilayah-wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak dan Singapura. Bagaimanapun, Singapura berpisah dengan Malaysia pada 1965.
Realitinya, status wilayah adalah komitmen kerajaan untuk mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi, selaras semangat terkandung dalam MA63.
Walaupun Sabah dan Sarawak diberikan status wilayah, dalam konteks negara kedua-duanya masih lagi negeri yang berada di bawah pemerintahan Pusat.
Bagaimanapun, wilayah Sabah dan Sarawak memegang kuasa lebih besar berbanding negeri dalam Malaysia dan setaraf Semenanjung.
Status wilayah ini juga berbeza tafsirannya berbanding Wilayah Persekutuan.
Taraf Wilayah Persekutuan lebih rendah daripada negeri, manakala negeri pula lebih rendah tarafnya dengan wilayah.
Dalam bahasa Inggeris juga, istilah wilayah membawa maksud region, manakala istilah Wilayah Persekutuan membawa pengertian territory.
Istilah negeri diguna pakai bagi menunjukkan gabungan beberapa kerajaan yang bersetuju untuk berada di bawah satu Persekutuan.
Negeri Melayu di Semenanjung asalnya sebuah negara yang bergabung membentuk Persekutuan. Dalam konteks penubuhan Malaysia, pembentukan negara ini asasnya membabitkan penggabungan tiga wilayah iaitu Semenanjung, Wilayah Sabah dan juga Sarawak.
Justeru, pemberian status wilayah kepada Sabah dan Sarawak selari dengan konteks sebenar penubuhan Malaysia.
Dengan kembalinya status wilayah, diharapkan hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63, pembangunan infrastruktur dan juga ekonomi bagi kedua-dua wilayah berkenaan mampu bergerak setanding wilayah di Semenanjung dan tidak sekadar retorik politik semata-mata.
Dr Ilyas Abdullah Berita Harian