Kampung Gusi akan terima kemudahan jalur lebar menggunakan teknologi VSAT

RANAU: Kawasan pedalaman Sabah memerlukan rangkaian internet yg meluas bagi memudahkan penduduk setempat menggunakan kemudahan yang ada bagi tujuan pembelajaran mahupun komunikasi seharian.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, perkara itu sudah dibangkitkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datoโ€™ Saifuddin Abdullah melalui satu perbualan telefon baru-baru ini.

Katanya, liputan internet yang sempurna penting terutama untuk kemudahan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi ekoran pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.

“Ini terutama untuk para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi agar mereka tidak berhadapan dengan masalah gangguan internet ketika mengikuti pembelajaran secara online,” katanya ketika melawat Kampung Gusi, Ranau.

Baru-baru ini pula lapan pelajar cedera apabila sebuah jambatan gantung runtuh di Kampung Gusi di sini ketika mereka keluar untuk mencari isyarat internet bagi melakukan kerja sekolah.

Ekoran kejadian itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyediakan perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi VSAT (Very Small Aperture Technology) di kampung tersebut selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.

Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menyambut baik dan berterima kasih atas usaha dan tindakan pantas kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan kemudahan tersebut.

“Saya pada minggu lalu telah menghubungi menteri, Datoโ€™ Saifuddin Abdullah melalui perbualan telefon dan menyatakan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana bertindak segera menyediakan kemudahan jalur lebar menggunakan teknologi VSAT dan kini penduduk kampung khususnya di Kampung Gusi supaya mendapat capaian internet yang baik selepas ini,” katanya.

Dr. Joachim yg juga Menteri Pembangunan Perindustrian mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, kerana memberikan keutamaan kepada mewujudkan tiga menara telekomunikasi kekal akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Katanya, dengan capaian internet yang meluas akan memudahkan penduduk mendapatkan maklumat info terkini mengenai program kerajaan yang melibatkan Industri kecil dan sederhana. Ini selagi dengan aspirasi kerajaan untuk Satu Kampung Satu Industri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *