K-KOMM kaji tiga teknologi terkini sedia jalur lebar kawasan terpencil
KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengkaji penggunaan tiga teknologi terkini untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar di kawasan terpencil yang tidak mendapat liputan menggunakan kabel optik.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata tiga teknologi yang sedang dalam peringkat penelitian itu ialah Satelit Low Earth Orbit (LEO), Radio Access Network dan TV White Space.
Beliau berkata, ketika ini kementerian menggunakan kemudahan Satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) untuk menyediakan liputan jalur lebar di kawasan terpencil seluruh negara.
Katanya, penggunaan teknologi terkini itu bagi memastikan tiada kawasan tercicir daripada liputan internet atau teknologi digital, khususnya menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan ketika ini.
“Bagi kawasan terpencil yang tidak sampai di bawah program JENDELA biasa, kita meneliti teknologi yang ada. Selain 839 kawasan menggunakan teknologi satelit VSAT, kita juga meneliti beberapa teknologi terkini untuk pastikan jalur lebar sampai di kawasan terpencil.
“Antaranya LEO (Low Earth Orbit), Radio Access Network dan TV White Space. Kita sedang kaji tiga teknologi ini untuk beri kemudahan jalur lebar di kawasan terpencil tanpa perlu menunggu kabel optik siap,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) Bil 1/2022, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan.
Sementara itu, Annuar berkata, liputan rangkaian 4G di Sabah kini mencapai 86.9 peratus bagi kawasan berpenduduk di seluruh negeri.
Bagaimanapun, katanya, peratusan itu hanya merujuk kepada jangkauan liputan dan bukannya kualiti perkhidmatan, berikutan masih ada kawasan yang rendah kadar liputannya terutama apabila ramai pengguna.
“Contohnya, apabila ramai balik kampung sempena Kaamatan atau Hari Raya, penggunaan 4G di sesuatu kawasan itu meningkat menyebabkan kekuatan liputannya menguncup, malah bertukar menjadi tiada liputan.
“Namun, secara keseluruhannya liputan 4G di Sabah kini mencapai 86.9 peratus. Bagi liputan seluruh negara pula kita menyasarkan 96.9 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata orang ramai boleh membuat aduan mengenai masalah liputan internet di sesuatu kawasan melalui laman sesawang JENDELA Map supaya tindakan dapat diambil pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bersama syarikat penyedia rangkaian (TELCO).
Pada masa sama, katanya, SKMM turut diarah bekerjasama dengan wakil rakyat bagi membantu mereka menangani isu berkaitan liputan telekomunikasi dan teknologi digital yang diadukan rakyat di kawasan masing-masing kepada mereka. -BH