JAPEN Sabah perkasa kaedah sampaikan maklumat COVID19 melalui hiburan

KOTA KINABALU: Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah mengambil pendekatan memperkasa kaedah penyaluran maklumat berkaitan COVID19 kepada rakyat melalui hiburan.

Pengarahnya, Norzawiyah Bulka optimis kaedah tersebut dapat dilaksanakan menerusi peranan yang dimainkan oleh semua Artis Budaya Unit Pentarama untuk mengingatkan masyarakat mengenai pembudayaan norma baharu serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kehidupan.

“Semua artis budaya dalam Unit Pentarama  perlulah lebih kreatif dalam setiap persembahan supaya mesej yang mereka bawa bukan sahaja sampai tetapi difahami oleh masyarakat.

“Dalam mendepani pandemik COVID19 ini, kita menggalakkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan membudayakan norma baharu dalam kehidupan seharian sebagai langkah memtuskan rantaian COVID19,” ujar beliau.

Mengenai aktiviti Pentarama, Norzawiyah berkata beberapa program telah dirancang  dan dipersembahkan secara maya melalui media sosial Facebook JaPen Sabah.

Antara program tersebut ialah Program Akustika Pentarama yang disasarkan sebanyak lima kali setahun dan program pertama telah berlangsung pada 12 Februari lalu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, dua lagi program baharu yang dirangka dalam membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk hiburan seperti menyanyi, menari, melawak dan pengacaraan iaitu Program Pentarama Fit Dance dan Program The Singing Community.

Beliau ditemui media selepas mengadakan Lawatan Kerja Penambahbaikan Studio Pentarama JaPen Sabah dekat Inanam hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Azman Sipan dan Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Mohd Mujahid Halpi. – SUMBER: JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published.