‘Jangan lempar batu sembunyi tangan’: Persatuan Nelayan Zon Sandakan

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Zon Sandakan (Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan) menyelar kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong yang mendakwa masalah kekurangan bekalan dan subsidi bahan bakar tidak pernah terjadi ketika Pakatan Harapan menerajui kerajaan pusat dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) di peringkat negeri.

Ketuanya, Saiful Bahari Muin menyifatkan Calvin sebagai tidak menyedari situasi sebenar yang berlaku.

“Sebaliknya beliau bertindak menyalahkan pihak lain tanpa meminta penjelasan penjelasan daripada pihak yang terlibat seperti Persatuan Nelayan Sandakan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi berkaitan yang lain.

“Masalah terbabit telah berlaku semasa era pemerintahan WARISAN-PH di mana Calvin ketika itu merupakan ADUN di pihak kerajaan. Malah, ia juga berlaku semasa pemerintahan sebelumnya,” katanya.

Menurut beliau, kenyataan tidak masuk akal untuk Calvin menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru sahaja memegang tampuk pemerintahan selama enam bulan.

“Di mana Calvin berada selama ini sedangkan beliau adalah wakil rakyat selama lebih dari dia tahun dalam pemerintahan sejak 2018. Jadi dia tidak mengetahui masalah nelayan di Sandakan secara khusus,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, masalah bekalan minyak yang terganggu selama beberapa hari telah diselesaikan, yang berkaitan dengan masalah cukai minyak.

“Kini para nelayan dapat kembali ke laut seperti biasa. Isu cukai ini juga bukan perkara baru kerana semasa pemerintahan WARISAN, Calvin tidak pernah memperjuangkannya atau mungkin tidak menyedari perkara tersebut.

“Calvin seharusnya tidak bertindak melemparkan batu sembunyi tangan. Jangan mempolitikkan masalah ini kerana beliau harus melihat kembali masalah utama seperti pengumpulan sampah Sandakan yang menjadi bahan jenaka sehingga menjadi tular di media sosial ketika WARISAN memerintah,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau juga berkata bahawa para nelayan di Sandakan sememangnya bersyukur kerana Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan yang dengan tekun meninjau dan membuat keputusan sesuai dengan pemikiran masyarakat.

“Sementara itu, di peringkat Persekutuan, Datuk Seri Ronald Kiandee adalah menteri yang bertanggungjawab untuk Industri Perikanan dan Pertanian yang berasal dari Sabah. Insentif kerajaan diberi berterusan dan pelbagai bantuan lain dari kerajaan juga dinikmati oleh golongan nelayan,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *