Jangan guna insiden kemalangan sebagai modal politik – Bung Moktar 

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar sikap pemimpin pembangkang yang cuba ‘menangguk di air yang keruh’ dengan menggunakan insiden kemalangan maut terlanggar tiang jejambat di Jalan Lintas-Lido, di sini, baru-baru ini sebagai modal politik.

Dengan merujuk kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe mengenai keadaan di lokasi kemalangan, Bung Moktar berkata, wakil rakyat DAP itu sepatutnya lebih peka dan bertanggungjawab, selain sensitif dengan situasi yang berlaku.

“Saya ingin menasihati YB Phoong untuk tidak sewenang-wenangnya ‘menangguk air yang keruh’ dengan menggunakan insiden malang meragut nyawa seperti ini sebagai modal politik. 

“Saya minta beliau lebih peka, bertanggungjawab dan lebih sensitif dalam berperanan sebagai seorang YB pembangkang. Jangan sesekali mengambil kesempatan dalam kesempitan dan kesedihan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jin Zhe antara lain mendakwa keadaan jalan dan lampu yang tidak baik, selain laluan mengelirukan antara punca yang boleh mengundang kemalangan.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, menafikan dakwaan Jin Zhe selepas beliau sendiri meninjau lokasi kemalangan dan diberikan taklimat oleh pihak bertanggungjawab, pagi tadi.

“Melihat keadaan tempat kejadian dan berdasarkan taklimat yang diberikan oleh agensi kepada saya menunjukkan kawasan terlibat adalah berkeadaan baik dengan kondisi jalan yang baharu dan rata, begitu juga dengan lampu jalan sekeliling yang berfungsi. 

“Semua pihak yang hadir termasuk Kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis sependapat dengan gambaran ini. Saya terkilan dengan kenyataan semberono daripada wakil rakyat Luyang merangkap Setiausaha DAP Sabah itu. 

“Saya rasa, wakil rakyat ini tanpa usul periksa (atau tidak tahu) telah merujuk lokasi jalan lain dan bukan lokasi di tempat kejadian. Saya cadangkan agar lain kali wakil rakyat ini perlu benar-benar pasti lokasi kemalangan sebelum membuat kenyataan. 

“Saya juga boleh tolong tunjukkan lokasi tersebut sekiranya beliau tidak pasti lokasi kemalangan itu,” katanya.

Bung Moktar berkata, siasatan polis terhadap insiden kemalangan itu masih dijalankan dan pihak Kerajaan perihatin terhadap keperluan-keperluan baharu. 

“Kita perlu terima hakikat bahawa sebaik mana ciri-ciri keselamatan jalan raya sama ada reka bentuk atau apa juga ciri keselamatan lain, ia tidak akan menjamin keselamatan lebih-lebih lagi pemandu atau pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab dan kerap melanggar undang-undang seperti melangkaui had kelajuan secara ‘ekstrem’ apatah lagi dalam keadaan hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar turut merakamkan ucapan takziah dan amat bersedih atas musibah yang terjadi terhadap ahli keluarga mangsa kemalangan di lokasi terbabit pada malam Jumaat lalu.

Beliau menekankan perkara seumpama itu tidak boleh diambil ringan dan sentiasa perlu ditangani di tahap yang serius. 

“Siasatan polis masih dijalankan, di samping itu pihak Kementerian dan JKR dengan pegawai polis telahpun mengunjungi tempat kejadian bersama-sama saya hari ini untuk menilai secara terus di lapangan,” katanya.

Dalam kejadian jam 11.24 malam Jumaat lalu, tiga beranak terkorban, manakala seorang lagi kanak-kanak parah selepas kereta pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas-Lido itu. – Wartaoriental

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *