Jalan rosak ancam keselamatan penduduk Matunggong

KUDAT: Keadaan jalan raya yang rosak terutama di seluruh Matunggong berpotensi mengancam keselamatan penduduk sekaligus meragut nyawa jika tidak diperbaiki dengan kadar segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menggesa segera dilakukan kerja-kerja membaiki kerosakan selain menambah pembangunan infrastruktur rakyat selain menaik taraf kemudahan tertentu.

Dalam lawatan kerjanya ke beberapa mukim dalam kawasan Matunggong baru-baru ini, beliau mendapati terdapat jalan-jalan seperti di kampung Bonsiku, dalam mukim Sikuati Dualog mengalami kerosakan teruk.

Katanya, jambatan di kampung berkenaan juga sudah tidak selamat untuk dilalui kenderaan besar dan hanya sesuai untuk basikal dan motosikal sahaja.

“Pihak yang terbabit untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan dan jambatan perlu bertindak segera agar tiada berlaku kemalangan jiwa berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media selepas melakukan lawatan kerja terbabit.

Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat turut meninjau keadaan sebuah jambatan konkrit yang hampir jatuh di kampung Inukiran yang tidak boleh digunakan kenderaan berat seperti kenderaan mengeluarkan hasil pertanian.

“Saya sedaya upaya akan memastikan jambatan-jambatan dalam kawasan Matunggong diperbaiki dengan kadar segera, kerana kita tahu penduduk kampung menggunakan jambatan-jambatan Ini untuk menghubungkan mereka dengan kampung lain,” katanya.

Dalam pada itu, Julita berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kudat yang ketika Ini dalam usaha menaiktaraf beberapa jalan raya dalam kawasan Matunggong.

“Saya menghargai dan berterima kasih di atas keprihatinan dan inisiatif pihak JKR Kudat demi memastikan kemudahan infrastruktur rakyat di kawasan Matunggong dipertingkatkan.

Dalam lawatan terbabit, Julita sempat mengunjungi sebuah keluarga yang rumah mereka rosak akibat banjir di kampung Bingolon, dalam mukim Tambuluran.

Lawatan kerja itu diiringi oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius Masain serta kakitangan Pejabat ADUN N5 Matunggong dan UPPM Matunggong.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.