Inisiatif Digitalisasi Sabah bakal realisasikan konsep kerajaan digital

KOTA KINABALU: Inisiatif Digitalisasi Sabah yang telah dimulakan tahun ini akan membantu merealisasikan konsep kerajaan digital dan meningkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata inisiatif terbabit diharapkan dapat merevolusikan pemikiran dan cara melakukan sesuatu di kalangan kakitangan perkhidmatan awam negeri.

“Sudah pasti ini akan memberi impak tinggi kepada perkhidmatan awam negeri dan meningkatkan lagi produktiviti,” katanya selepas melancarkan ‘Smart Libary’ bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji telah diberikan taklimat mengenai Inisiatif Digitalisasi Sabah oleh Pengarah (Bahagian Kerajaan Digital) PPNS, Doria Tai.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.

Sementara itu, Hajiji memuji pembangunan ‘Smart Library’ yang merupakan salah satu projek di bawah inisiatif terbabit dalam memberi kelebihan kepada penjawat awam dalam mendapatkan maklumat dengan lebih cepat.

‘Smart Library’ dilengkapi dengan e-buku, e-majalah dan e-pembelajaran dalam talian dan beliau berharap lebih banyak projek seperti itu dapat dikembangkan untuk memudahkan perkongsian data dalam merealisasikan konsep kerajaan digital.

Berikutan teknologi semakin canggih, Hajiji turut menggesa semua kakitangan awam di Sabah untuk mempersiapkan diri untuk menerapkan sistem digitalisasi pada waktu sekarang dan masa hadapan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *