Industri nanas Sabah berpotensi dikembangkan

SANDAKAN: Industri nanas di Sabah amat berpotensi untuk dikembangkan semula  sebagai tanaman utama petani sebagaimana era 70-an

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Dato Dr Sahruddin Jamal berkata industri nanas Sabah kini dalam keadaan yang baik.

Beliau berkata pihaknya  melihat industri ini perlu dikembangkan dengan sebaik mungkin bagi menjadikan Sabah sebagai pengeluar nanas di negara ini.

Sahruddin berkata kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor di Sabah Hotel pada Jumaat.

Beliau menjelaskan Ketua Menteri telah memberi respon yang positif terhadap LPNM untuk memain peranan dalam usaha mengembangkan industri nanas di Sabah.

“LPNM berperanan untuk membantu masyarakat dalam memberi sumbangan teknikal seperti pihak kami bantuan negeri-negeri lain berhubungi industri nanas,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memainkan peranan untuk memberi khidmat nasihat berhubung penanaman nanas yang tepat yang boleh mendatangkan hasil yang lebih baik.

“Setakat ini, hanya Sabah sahaja yang belum memiliki Lembaga Nanas. Kita akan membantu agensi-agensi di Sabah dan kita akan main peranan dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Sahruddin memberitahu pihaknya telah mengadakan lawatan ke beberapa tempat penanaman nanas yang diusahakan oleh petani industri kecil.

“Potensi nanas di Sabah begitu bagus kerana masyarakatnya telah mula mengusahakan dan banyak bertanya kepada pihak kami berhubung penanaman nanas.

“Keluasan tanah di Sabah dan Sarawak amat luas dan amat berpotensi untuk masa depan dalam industri ini.

“Penanaman nanas pada masa depan amat baik untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau menjelaskan LPNM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan agensi berkaitan di Sabah bagi memberi pandangan lokasi terbaik untuk pihaknya membuat kajian tanah yang sesuai untuk penanaman nanas.

“Lokasi yang kami lawat seperti di kawasan Labuk dan beberapa tempat lain  adalah salah satu lokasi yang difikirkan sebagai perintis penanaman nanas jenis MD2,” katanya.

Sahruddin berkata tidak perlu khuatir kerana di Sabah ini tanahnya amat luas dan sesuai untuk penanaman nanas.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPNM Mohd Khairulzamri M. Salleh dan Ahli Lembaga Pengarah LPNM Datuk Mohd Anim Hosnan. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *