Hajiji serah bantuan Sentuhan Kasih Aidilfitri

TUARAN: Seramai 150 penerima dari daerah ini menerima bantuan makanan dan peralatan kebersihan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Sumbangan itu adalah menerusi Program Sentuhan Kasih Yayasan Petronas sempena dengan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya sangat menghargai usaha Yayasan Petronas ini yang membantu komuniti memerlukan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19,” katanya.

Sumbangan Sentuhan Kasih Aidilfitri itu turut menyerahkan bantuan serupa kepada 150 penerima di Kinabatangan pada hari yang sama.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Operasi Petronas Sabah dan Labuan Jasper Diego. Sementara itu, Yayasan Petronas Sentuhan Kasih Kaamatan dilakukan pada 25 Mei depan yang melibatkan seramai 125 penerima di Kundasang dan Nabawan (125 penerima).

Untuk Labuan, Sentuhan Kasih Aidilfitri dan Kaamatan akan diadakan pada 24 Mei depan melibatkan 150 dan 100 keluarga.

Ketika Tahun Baharu Cina Februari lalu, Yayasan Petronas juga  telah menyampaikan bantuan makanan dan peralatan kesihatan kepada 300 penerima di Kudat, Tenom, Kuala Penyu dan Tambunan serta 150 penerima di Labuan.

Tahun ini Yayasan Petronas bersama-sama Jabatan Kebajikan akan mengedarkan bantuan makanan dan peralatan kesihatan kepada seramai 5,400 penerima kurang bernasib baik di negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas Nelly Francis Shariah berkata, pihaknya akan terus komited membantu komuniti memerlukan walaupun negara berhadapan dengan cabaran COVID-19.

Katanya, bantuan makanan perayaan ini sudah pasti mampu membawa kegembiraan kepada para penerimanya selain mampu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan yang menghasilkan makanan berkenaan.

Festival Sentuhan Kasih adalah program tahunan yang diadakan bersama-sama dengan musim perayaan bertujuan untuk membawa kegembiraan dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka  yang kurang bernasib baik.

Program berkenaan juga adalah sebahagian daripada tumpuan pembangunan dan kebajikan komuniti menerusi Yayasan Petronas. Ia juga selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *