Hajiji: Rundingan pemberian khas Sabah hampir selesai
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah kini di peringkat akhir dalam memuktamadkan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata perundingan itu berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus membantu meningkatkan hasil negeri,” katanya ketika membentangkan pencapaian setahun pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menggariskan kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak yang dinyatakan dalam seksyen 1 dan subseksyen (1) seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata peningkatan bayaran pemberian khas kerajaan Pusat penting untuk menambah hasil negeri selain kutipan hasil melalui strategi percukaian.
Tahun lalu, katanya Sabah mengutip RM5.449 bilion hasil iaitu jumlah tertinggi dicatat sejak Sabah merdeka melalui pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyasarkan pertambahan hasil negeri menerusi penerokaan sumber baharu, inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.
“Sejajar dengan usaha menggalakkan pembabitan badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor ekonomi, kerajaan juga akan menimbangkan strategi pemerkasaan amalan tadbir urus korporat.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan semua badan dan syarikat menunaikan tanggungjawab pembayaran dividen yang lebih tinggi. Bagi 2021, kerajaan negeri menerima RM112.2 juta dividen daripada badan berkanun dan GLC, meningkat 12.9 peratus berbanding 2020,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata hasil kesungguhan dan muafakat semua pihak, usaha kerajaan negeri melaksanakan Halatuju SMJ 2021-2025 sudah menunjukkan perkembangan yang positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian signifikan menerusi 500 inisiatif yang digariskan.
SMJ adalah pelan pembangunan baharu dirangka kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) dalam usaha memulih dan melonjakkan semula ekonomi negeri, khususnya sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian selain terus komited menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat. -BH