Hajiji lancar Konvoi Semarak Hari Malaysia, santuni 300 penerima Sumbangan Bantuan Prihatin

TUARAN: Seramai 300 penerima terdiri daripada 150 penunggang motosikal p-hailing dan 150 orang golongan yang kurang berkemampuan menerima Sumbangan Bantuan Prihatin di sini hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dua program yang diadakan hari ini adalah program menyantuni belia dan golongan yang kurang berkemampuan bagi kawasan Daerah Tuaran seterusnya melancarkan Konvoi Semarak Hari Malaysia.

“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada program yang melibatkan penyertaan anak-anak muda supaya mereka terlibat dengan program dan aktiviti yang berfaedah, positif dan sihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Konvoi Semarak Hari Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Prihatin bagi kawasan Daerah Tuaran hari ini.

Program tersebut adalah anjuran bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), Persatuan Cakna Masyarakat Sabah (PEMERKASA) dan Tuaran Youth Town Club (TYTC).

Mengulas Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta, Hajiji berkata,
ia merupakan salah satu inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu usahawan belia di negeri Sabah.

Beliau turut mengalu-alukan usahawan belia memohon skim itu kerana ia adalah peluang dan inisiatif-inisiatif kerajaan untuk membantu golongan belia dalam bidang keusahawanan.

“Kerajaan mahu golongan belia turut melibatkan diri dalam bidang keusahawanan samada perniagaan secara kecil-kecilan ataupun yang lebih besar.

“Ini adalah insiatif kerajaan untuk belia dan sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi, in shaa Allah kita akan pertimbangkan menambahnya,” katanya.

Majlis turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim, Pengarah YKS, Rugayah Ag Besar dan Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *