Hajiji: Kerajaan GRS-BN akan terus majukan kawasan luar bandar Sabah 

TONGOD: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan terus memajukan Sabah termasuk kawasan luar bandar melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin dan tidak mahu daerah yang jauh dari Kota Kinabalu mundur, kerana rakyat di daerah tersebut juga berhak menikmati pembangunan dan faedah hasil daripada kemerdekaan negara.

“Inilah yang Kerajaan GRS-BN lakukan kerana bagi kita yang penting ialah rakyat dapat menikmati apa jua pembangunan dan juga kemudahan-kemudahan asas yang sepatutnya mereka perolehi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Daerah Tongod Tahun 2022 dan Majlis Pecah Tanah Projek Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, di sini, semalam.

Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN mahu membawa Tongod dan daerah-daerah lain yang kurang pembangunan keluar daripada kemunduran.

“Inilah niat kita sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan negeri pada September 2020 yang lalu. Kerajaan Negeri sememangnya akan membawa pembangunan terutama di kawasan luar bandar bagi dinikmati oleh rakyat kita yang selama ini mengharapkan sesuatu yang baik atau memberi manfaat kepada mereka, yang dapat dilakukan oleh Kerajaan,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan GRS-BN juga amat komited dalam menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini seperti penyerahan sebanyak 611 geran tanah yang berkeluasan 3,893 ekar kepada pemohon dari daerah Tongod.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 238 adalah geran tanah adat negeri (NT) hasil daripada permohonan tanah biasa, manakala geran NT hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) adalah sebanyak 373.

“Pada 12 Mei lalu, saya telah menyerahkan 206 geran tanah NT kepada pemohon di daerah Pitas. Dan kelmarin saya telah menyerahkan sebanyak 181 geran di daerah Telupid,” katanya

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) akan sentiasa bekerja keras untuk menilai dengan teliti semua permohonan tanah yang dikemukakan oleh rakyat.

Menurutnya, sekiranya sesuatu permohonan itu tidak mempunyai sebarang halangan, tiada sebab pengeluaran geran untuk tanah terbabit tidak dapat dilaksanakan. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *