Hajiji Ingin Menaik Taraf Hospital Tuaran

TUARAN : Ketua Menteri Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah berpeluang untuk melihat seorang warga tua, Wakidi Kario, 85, menerima suntikan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Tuaran. Hajiji juga telah membuat satu lawatan ke PPV di Dewan Sri Sulaman pada hari ini.

Hajiji dalam pada itu meminta kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf Hospital Tuaran kepada hospital pakar. Hajiji memohon dan berharap untuk merealisasikan permintaan rakyat di sana untuk mempunyai hospital pakar sendiri yang dilengkapi dengan peralatan – peralatan perubatan yang lengkap.

Hajiji menjelaskan bahawa kawasan Hospital Tuaran mempunyai tapak pembinaan yang mencukupi ditambah lagi dengan kedudukannya di kawasan yang menghubungkan pantai barat utara Sabah dan pantai timur Sabah.

Dengan usaha ini, hospital pakar itu akan dapat memberi tumpuan yang lebih baik dalam mengawal masalah – masalah jangkitan atau infeksi dan menjadi hospital pertama di Sabah yang memiliki kepakaran utama dalam mengawal infeksi.

Kerajaan negeri juga berharap agar kerajaan Persekutuan turut dapat membangunkan dua lagi klinik kesihatan di Sulaman dan di Pantai Dalit. Pembangunan ini adalah bagi memudahkan rakyat di kawasan itu mendapatkan rawatan perubatan dengan lebih segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *