Hajiji: GRS salur RM2.4 juta bantu mangsa kebakaran Kg Landung Ayang

KUDAT: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM2.4 juta kepada semua pemilik 120 buah rumah yang telah musnah akibat bencana kebakaran di Kampung Landung Ayang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, setiap rumah yang musnah akan menerima RM20,000.00 dalam bentuk bahan binaan untuk membina semula rumah mereka.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh semua mangsa kebakaran”.

“Bantuan yang disalurkan ini menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan Kerajaan Negeri dengan rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, mangsa kebakaran dibenarkan membina semula rumah mereka ditapak sedia ada dengan dikawal selia oleh Lembaga Bandaran Kudat, agar ianya teratur dan berjarak.

Mewakili Kerajaan Negeri, beliau merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa bencana kebakaran dan berharap agar semua mangsa yang terlibat terus tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan turut membantu rakyat yang ditimpa musibah atau kesusahan di semua kawasan di negeri ini, tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.

Terdahulu Hajiji menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM500 kepada seramai 176 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran kampung tersebut yang ditempatkan di Dewan Tun Mustapha.

Mangsa kebakaran juga menerima set dapur gas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat

Mengiringi Hajiji ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Dato’ Sri Dr.Ruddy Awah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, ADUN Pintas, Encik Fairuz Renddan dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Haji Awang Shahminan Datuk Sahari.

Leave a Reply

Your email address will not be published.