Hajiji: Belum ada keputusan Kad Warga Asing di Sabah

KOTA KINABALU: Kad Warga Asing (Foreigner Card) hanyalah cadangan Jawatankuasa Teknikal yang akan dibincangkan lebih lanjut lagi oleh Kerajaan Negeri sebelum keputusan muktamad dibuat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS-Induk) ditubuhkan berikutan saranan RCI untuk platform bersama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menguruskan isu ini,” katanya.

Ketua Menteri bertegas bahawa cadangan itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan mahupun dokumen kepada warga asing untuk memberikan mereka
taraf kewarganegaraan dan ia perlu melalui penelitian rapi dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua termasuk parti politik, aktivis serta
rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berazam untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa izin yang berlarutan sejak sekian lama.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan Negeri GRS akan sentiasa berpandukan kepentingan rakyat dan negeri dalam membuat keputusan.

“Kerajaan Negeri GRS mengambil maklum semua pandangan dan input daripada semua pihak berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri.

“Adalah lebih baik kepada semua jangan membuat andaian terburu-buru,” katanya.

Hajiji berkata Kad Warga Asing (Foreigner Card) dan Kad Pekerja Warga Asing (Foreign Worker Card) telah dicadangkan untuk menjadi dokumen standard bagi
semua pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung yang dikeluarkan sebelum ini kepada pendatang Filipina dan semua pekerja asing yang sah.

“Cadangan kad Pekerja Asing (Foreign Worker Card) antara lainnya akan dikeluarkan kepada semua pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian
dan perikanan, pembuatan, pembinaan dan pembantu rumah antara lain.

“Kita perlu mewujudkan pangkalan data pekerja asing supaya ada rekod sistematik mengenai kehadiran mereka di negeri ini,” tegasnya. “Kami mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak berkaitan yang berkongsi kebimbangan mengenai isu legasi ini.

Di peringkat negeri, saya akan mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKNS) manakala Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengetuai jawatankuasa kerja,” katanya.

JKKNS terdiri daripada ESSCOM, Angkatan Tentera, polis, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan
Ketua Menteri dan Majlis Keselamatan Negara sebagai sekretariat bersama.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS berpegang teguh pada prinsip ketelusan dalam mencari penyelesaian kepada isu pendatang tanpa izin
dan memastikan semua mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu.

“Pendirian kami semua PATI mesti dihantar pulang dan hanya mereka yang bekerja secara sah di negeri ini akan diberikan kad pekerja asing,” katanya.

“Pemeriksaan latar belakang akan dilakukan dan mereka yang mempunyai rekod jenayah akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang sewajar,” tegas Hajiji.

Hajiji berkata, ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah dan antara kriteria utama ialah ketersediaan tenaga
kerja yang mencukupi.

Hajiji juga mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan untuk bersama-sama mencari jalan bagi menyelesaikan isu itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *