Guna khidmat kurier bawa lebih 7kg syabu ke Sabah

TAWAU – Polis Tawau berjaya mematahkan rangkaian sindiket pengedaran dadah selepas merampas lebih tujuh kilogram syabu dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.10 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan dipercayai terbabit kegiatan sindiket pengedaran dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dua operasi itu dijalankan oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis di Jalan Stephen Ta di sini dan berjaya merampas dua kotak bungkusan plastik yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bungkusan itu berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Suspek yang juga seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk tujuan soal siasat sebelum membawa kepada serbuan kedua,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di IPD Tawau di sini pada Selasa.

Jasmin berkata, hasil siasat lanjut, pasukan operasi terus melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas, di sini pada jam 3.40 petang hari yang sama.

“Dalam serbuan itu, pasukan operasi berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM258,948,” katanya.

Tambah Jasmin lagi, siasatan lanjut mendapati, semua bungkusan berisi syabu itu dipercayai dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan.

“Siasatan awal juga mendapati, suspek terbabit adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sindiket-sindiket yang terbabit dalam kes ini.

“Polis juga telah membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau babit kes jenayah,” katanya.

Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *