Guna dron dalam pencegahan jenayah

PENAMPANG: Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim menasihatkan orang awam terutama di daerah ini untuk tidak panik jika mengesan kelibat dron di ruang udara.

Beliau berkata ini disebabkan pihaknya mengadakan satu simulasi dan latihan yang dikendalikan oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah yang ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Penubuhan Unit Dron ini adalah usaha Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membangunkan dan mengaplikasi teknologi alat kawalan jauh dalam pencegahan jenayah.

“Unit Dron PGU ini juga digunakan bagi membantu Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi ruang udara terutamanya ketika waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu Haris menasihatkan pemilik dron agar sentiasa berwaspada dan pastikan ada permit sebelum menerbangkan dron masing-masing.

Menurutnya tindakan menerbangkan dron tanpa permit adalah salah mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan denda minimum RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.