Fasa pemulihan pelancongan Sabah dijangka ambil masa panjang

KOTA KINABALU: Tempoh fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19 untuk sektor pelancongan negeri Sabah dijangka akan mengambil masa lebih panjang berbanding negeri lain.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan media berkata antara kekangan utama adalah disebabkan Sabah bergantung hampir sepenuhnya kepada perhubungan udara.

“Walau bagaimanapun, kita yakin dengan semua strategi yang telah digariskan sebelum ini mampu memulihkan kembali industri pelancongan secara efektif berteraskan norma baharu.

“Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan serta strategi bersesuaian untuk berdepan cabaran semasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pemulihan pelancongan juga bergantung kepada kejayaan membendung pandemik, dengan prospeknya yang semakin baik susulan ketersediaan vaksin.

“Pelaksanaan vaksinasi secara berkesan akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan dan normalisasi aktiviti perjalanan serta pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Selain itu, kerajaan negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sabah juga telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung keperluan untuk menambah penerbangan terutama di daerah yang mempunyai tempat pelancongan yang berpotensi untuk menarik pelancong dalam mahupun luar negara.

“Di samping itu, Lembaga Pelancongan Sabah juga kini sedang menggariskan beberapa strategi dalam mempelbagaikan jenis pelancongan agar tidak hanya tertumpu kepada pelancong massa sahaja.

“Antaranya adalah memperluaskan pelancongan alternatif yang melibatkan kumpulan kecil atau individu yang melancong ke tempat yang bukan merupakan destinasi pelancongan terkenal,” katanya.

Jafry juga berkata pihaknya berperanan untuk menaiktaraf fasiliti pelancongan ke arah mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.

Seterusnya untuk membantu pemain industri pelancongan tempatan yang terjejas akibat penularan COVID-19, bantuan fasa kedua sebanyak RM300 kepada porter, pemandu pelancong, malim gunung, ketua selam dan penggiat seni akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Dalam masa sama, kementerian juga sedang meneliti beberapa bentuk bantuan kepada pengusaha hotel dan penginapan di Sabah berikutan sejak pelaksanaan PKP, beberapa hotel ditutup dan sebahagian kakitangan terpaksa diberhentikan kerja.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *