ESSCOM Pertingkat Kerjasama Pengoperasian, Kawalan Keselamatan Di ESSZone

LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan mengukuhkan pengoperasian dan kawalan keselamatan yang lebih efektif dengan kerjasama strategik antara agensi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), sebagai usaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di negeri Sabah.

Perkara tersebut merupakan antara intipati perbincangan semasa sesi kunjungan hormat ke atas YDH DCP Haji Hamzah Haji Ahmad, Komander Eastern Command oleh Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.

Turut serta adalah Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad, Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) dan Brigedier Jeneral Suhaimi Hj Shamsudin, Panglima 13 Briged Infantri Malaysia pada Isnin di pejabat ESSCOM Lahad Datu.

Selain daripada mengeratkan silaturahim dan hubungan sesama agensi, sesi perbincangan meliputi perancangan dalam aspek aturgerak operasi dan logistik; serta perkongsian idea bagi peningkatan keupayaan untuk semua agensi keselamatan yang beroperasi di pantai timur Sabah.

Di samping itu, cadangan pelaksanaan operasi gabungan dan latihan bersama melibatkan pasukan khas antara agensi dalam kawasan ESSZone turut dibincangkan.

Terdahulu delegasi turut diberikan taklimat perisikan berhubung perkembangan situasi keselamatan pantai timur Sabah.

Turut hadir semasa sesi perbincangan tersebut adalah Ketua-ketua Staf ESSCOM dan pegawai-pegawai kanan APMM, ATB-ATB dan Markas 13 Briged. – Sabah360

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *