Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran

KOTA KINABALU: Empat sekeluarga rentung dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Hungap,Penampang awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.52 pagi itu, empat sekeluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres dua tingkat.

Pegawai Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Zainal Radsung@ John berkata, keempat-empat mangsa dikenali sebagai Matthew Wong,50; Jecky Vun Kon Fung,48; Brendan wong,18, dan Eric Wong, 15.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.52 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal yang terbakar 90 peratus. Turut terbakar dua buah kenderaan yang terbakar 10 peratus kerana terkena bahang.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemandaman dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat orang mangsa rentung dalam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi terkawal pada pukul 3.40 pagi dan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.10 pagi.

Kesemua mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

–UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *