DUN Sabah : Usaha penambahbaikan pastikan bayaran elaun JPKK diselesaikan
KOTA KINABALU : Usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan bayaran elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diselesaikan tepat pada masanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim berkata, pihaknya sedia maklum terdapat masalah yang dihadapi ketika memproses bayaran elaun kepada beberapa badan JPKK di seluruh Sabah.
โBerhubung kelewatan bayaran elaun JPKK, mohon maklum bahawa Kementerian saya sedar, terdapat masalah yang dihadapi ketika memproses bayaran elaun kepada beberapa badan JPKK di seluruh Sabah.
โUsaha-usaha penambahbaikan sedang dibuat dengan serius. Insya Allah, isu-isu yang timbul akan diminimakan dan diselesaikan seterusnya bayaran akan dapat dibuat tepat pada masa yang ditetapkan apabila sistem yang dirancang dilaksanakan dalam masa yang terdekat,โ katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ruslan Muharam (PBS-Lumadan) pada ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.
Dalam pada itu, Jahid berkata. KPLB Sabah akan terus memperkasa dan memantapkan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan di luar bandar.
Katanya, pelaksanaan itu adalah melalui program-program pembangunan sedia ada di kementeriannya.
โSeiring dengan usaha Kerajaan Persekutuan untuk mencapai miskin tegar sifar, pada tahun 2025 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kementerian saya menyambut baik usaha tersebut.
โSebagai pelengkap kepada usaha-usaha untuk mencapai sasaran tersebut, selain menambah baik program yang ada, Kementerian saya akan fokus kepada mempelbagaikan program untuk meneroka inisiatif baharu,โkatanya.
Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah pembinaan dan memperkasakan aktiviti penternakan burung walit yang merupakan Program Usahawan Luar Bandar serta Aktiviti Ekonomi Tambahan.
Menurunya, di samping itu, aktiviti tanaman sacha inchi juga akan digalakkan kerana ianya merupakan bidang pertanian amat mudah tanpa memerlukan kos tinggi dan kepakaran khusus.
โTetapi ianya memberi pulangan pendapatan dalam tempoh singkat kepada penduduk luar bandar yang menceburi dalam bidang pertanian ini,โ katanya. -SM