DidikTV, bukti kerajaan serius untuk tingkatkan akses pendidikan seluruh negara: Fairuz

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan akses pendidikan di seluruh negara melalui DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah antara langkah untuk memartabatkan kepentingan pendidikan tanpa sempadan.

Katanya, akses pendidikan yang diberikan melalui DidikTV KPM adalah bersifat menyeluruh dan sesuai dengan semua peringkat persekolahan.

“Pastinya program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM yang sesuai untuk peringkat prasekolah hingga Tingkatan 6 yang bercorak didik hibur (edutainment) yang dipaparkan dalam kandungan yang dihasilkan mampu membantu menghidupkan semula suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

“Ini sekaligus dapat membantu pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) khasnya bagi murid-murid yang berada di kawasan yang agak bermasalah dari segi liputan rangkaian internet yang digunakan untuk pendidikan secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Fairuz, DidikTV KPM pasti akan dimanfaat oleh murid-murid yang amat memerlukan bantuan dari segi kandungan pembelajaran.

“Misalnya di kawasan saya, masih ramai ibu bapa yang kurang berkememapuan untuk menyediakan kemudahan internet dan gajet untuk anak-anak mereka belajar secara dalam talian dan DidikTV KPM adalah satu jalan penyelesaian terbaik.

“Anak-anak mereka dapat mengikuti kelas pembelajaran dan silibus dalam DidikTV KPM, sekaligus dapat mengurangkan masalah murid-murid yang tercicir dalam pembelajaran,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.